• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Pelajar Politeknik Dungun Harumkan Negara

DUNGUN, 12 April - Pelajar Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA), Dungun berjaya mengharumkan nama negara di persada Asia selepas menduduki tempat ketiga dalam pertandingan kemahiran yang diadakan di Centre For Instructor & Advanced Skill Training (CIAST), Shah Alam. 

Mohd Harith Aman daripada PSMZA tidak keseorangan apabila dia bersama rakannya Tan Khia Wen daripada Politeknik Kota Bharu (PKB) manakala jurulatih mereka ialah pensyarah Mekatronik PSMZA, Mohd Fadrul Rizal Ab Rahim dan Masrul Nizam Mahmod dalam Politeknik Malaysia.

Menurut Fadrul, dua pelajar politeknik itu terpilih untuk ke Aseanskills Singapore 2020, namun disebabkan pandemik COVID-19, tuan rumah Singapura membatalkan penganjuran  pertandingan tersebut. 

"Oleh itu, Festo Asia telah mengambil inisiatif untuk menganjurkan pertandingan yang melibatkan bidang 'mechatronics' sahaja.

"Dalam  pertandingan tersebut mereka dikehendaki memasang beberapa Modular Production System Station (MPS) mengikut tugasan yang diberikan dan membuat sistem program untuk gerakan 'station' tersebut berdasarkan soalan yang diberi," jelasnya ketika dihubungi pemberita kelmarin.

Katanya, pertandingan tersebut telah disertai oleh institusi pendidikan dari pelbagai negara seperti Vietnam, Singapura, Indonesia, Korea dan Jepun secara atas talian yang berlangsung pada 7 hingga 8 April lalu.

"Sekian lama diberi tunjuk ajar dan latihan keras, akhirnya berjaya juga mereka.

"Walaupun gagal mempamerkan kebolehan mereka di Asean Skills, sekurang-kurangnya pertandingan ini mampu membuktikan keupayaan kita dalam bidang Mechatronics terutama bagi pasukan Politeknik Malaysia," katanya 

Dalam pada itu, Pengarah PSMZA, Mohd Fikri Ismail mengucapkan tahniah di atas kejayaan pelajar daripada Jabatan Kejuruteraan Mekanikal (JKM), PSMZA ini yang dapat menempa nama di peringkat Asia.

 "Pihak Pengurusan PSMZA akan sentiasa memberi sokongan kepada program-program pembangunan akademik pelajar seperti ini," ujarnya.


Tag: