• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Pelan Strategik Pertanian Akan Capai 100 Peratus Pelaksanaan

KUALA TERENGGANU, 3 Oktober - Kerajaan Negeri berjaya melaksanakan 55 daripada 58 program dalam Pelan Strategik Pertanian Terengganu 2019-2023.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Indutsri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata menjelang penutup pelan tersebut Kerajaan Negeri akan melaksanakan 100 peratus daripada perancangan yang digariskan. 

"Sejak dilancarkan pada bulan 4 Ogos 2019 dan bakal berakhir menjelang penghujung tahun 2023, sebanyak 55 daripada 58 program utama telah dilaksanakan dengan peratusan pelaksanaan sebanyak 95 peratus," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan pertama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Mohamed di Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) ke 15 di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Sementara itu Dr Azman yang juga ADUN Jabi berkata laporan pencapaian pertanian akan dikeluarkan dalam tempoh suku pertama tahun depan dan bakal dibentangkan dalam persidangan DUN.

"Kita (Kerajaan Negeri) sedang mengemaskini bengkel untuk menyusun dan memperbaharui perancangan pelan strategik bagi tempoh lima tahun akan datang iaitu mulai tahun 2024-2028 dengan mengambil kira komponen yang digariskan dalam Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS 2030) dan manifesto yang telah diumumkan kepada rakyat," ujarnya.

'Way forward' selepas ini katanya ialah yang untuk meningkatkan hasil pengeluaran tanaman, penternakan dan industri asas tani, kedua untuk memperkasakan aspek keselamatan serta kualiti makanan dan  ketiga untuk melengkapkan rantaian nilai.

Menurutnya projek yang dimasukkan di bawah tajuk 'Quick Win' ialah projek yang tidak menelan belanja yang besar tetapi memberi hasil segera kepada rakyat.

"Hanya kita fokus kepada bantuan 'input touch point' kepada golongan sasar sama ada petani, penternak atau nelayan yang meliputi bantuan info peralatan dan mekanisasi.

"Yang kedua isu pembangunan infrastruktur termasuk pertanian, penternakan dan perikanan meliputi pembangunan taman kekal pengeluaran makanan, naik taraf dan sistem pengairan sawah padi dan ladang serta kebun penduduk dan yang ketiga menaik taraf sistem jalan pertanian dan sebagainya," jelasnya lagi.

Seterusnya kata beliau Kerajaan Negeri fokus untuk menangani bencana yang selalu menimpa sektor pertanian sama ada dalam bentuk bencana alam, wabak penyakit dan serangan hidupan liar yang memusnahkan sebahagian daripada hasil pertanian penduduk.


Tag: