• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Pelancaran Bulan Kebangsaan, Kibar Jalur Gemilang Penuh Semangat Patriotik

KUALA TERENGGANU, 28 Julai - Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2020 di Terengganu hari ini berlangsung dalam suasana penuh semangat patriotik meskipun Malaysia masih dilanda wabak COVID-19.

Pelancaran yang disempurnakan Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar itu diadakan di Dewan Besar, Wisma Darul Iman dengan kehadiran terhad kepada 200 peserta bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Acara dimulakan dengan siaran amanat daripada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dipancarkan secara langsung ke seluruh negera.

Usai mendengar amanat Perdana Menteri dan ucapan perasmian oleh Menteri Besar, majlis diteruskan dengan penyerahkan Jalur Gemilang dan disusuli dengan upacara menaikkan bendera oleh Pasukan Simpanan Tentera Laut DiRaja Malaysia dan nyanyian Lagu Negaraku dan Jalur Gemilang.

Kemudian, bacaan ikrar rukun negara dan penyerahan bendera jalur gemilang sebanyak 2,000 keping setiap daerah yang diwakili oleh pegawai daerah, pegawai persekutuan, badan uniform, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta.

Majlis tersebut diakhiri dengan gimik pelancaran melekatkan bendera Jalur Gemilang di kenderaan-kenderaan jabatan oleh Dr Ahmad Samsuri.

Sementara itu, Dr Ahmad Samsuri dalam ucapannya berkata, dalam situasi negara berhadapan pandemik COVID-19, acara sambutan Bulan Kebangsaan pada tahun ini juga diadakan secara sederhana dan terpaksa dihadkan. 

Katanya, pengalaman hidup semasa tempoh Perintahan Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dahulu dan tempoh Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ketika ini telah banyak mengajar masyarakat erti kebebasan sebenar dan nilai sebuah kemerdekaan. 

“Kita seumpamanya telah dijajah dan dikawal oleh satu kuasa lain yang mengawal pergerakan kita, mengawal kehidupan kita dan mengawal segala-galanya. Hingga kini kita tidak boleh bebas seperti biasa, akibat pandemik COVID-19. 

“Oleh kerana itu, untuk kita merdeka daripada pandemik COVID-19 ini, ia sangat memerlukan kerjasama seluruh rakyat Malaysia untuk lebih berdisiplin, memiliki jati diri yang tinggi, semangat patriotisme yang kukuh mengikuti SOP yang ditetapkan oleh kerajaan,” ujarnya.


Tag: