Pelancong Luar Puji Terengganu

KUALA TERENGGANU, 4 September - "Dalam hidup kami tidak pernah tengok pantai sebersih ini, kami dapat jumpa banyak ikan, coral. Kalau tanya saya, ya, Terengganu adalah salah satu tempat tercantik di Malaysia,” ujar pelancong dari Selangor.

Punitha, 48, yang berasal dari Shah Alam berkata, mereka sekeluarga sangat teruja ketika pertama kali menjejakkan kaki di Pulau Redang.

“Kami banyak mendengar tentang Terengganu antaranya kecantikan pulau dan pelbagai warisan yang terdapat di sini.

“Ini kali pertama kami datang ke negeri ini dan berada di sana (Pulau Redang) selama dua malam, kami pergi snorkeling, bermain pantai dan lain-lain aktiviti,” katanya ketika ditemui di Terminal Feri Pulau Redang di Taman Tamadun Islam, semalam.

Terdahulu, tinjauan pemberita di jeti tersebut mendapati ramai ibu bapa yang mengambil peluang membawa anak-anak berkunjung ke Pulau Redang sempena cuti penggal persekolahan minggu lalu.

Punitha berkata, dia dan suami Sivamaran, 51, serta anak-anak akan kembali mengunjungi Terengganu pada masa akan datang bersama ahli keluarga yang lain.

“Pasti lepas ini saya akan datang lagi, walaupun saya sudah tinggal di Malaysia lebih 40 tahun, tapi mungkin selama ini saya tidak pernah dapat peluang berkunjung ke sini,” ujarnya.

Sementara itu, Nur Atikah Mohd Maliki ,28, dari Kulim, Kedah memilih untuk bercuti ke Pulau Redang bersama 10 ahli keluarganya kerana tertarik dengan kecantikan alam semula jadi pulau tersebut.

Difahamkan, antara tarikan utama pelancong ke Pulau Redang adalah dapat melihat sendiri hidupan marin dan terumbu karang melalui aktiviti snorkelling dan menyelam serta merakam gambar dan video di lokasi menarik pulau itu selain melihat rutin harian penduduk tempatan di Kampung Baru Pulau Redang.