• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Pelanggan Bertambah, Pasar Raya Terus Kekal SOP

KUALA NERUS, 11 Mei - Beberapa pasar raya terkemuka seperti Mydin akan terus memastikan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan berjalan lancar walaupun berlaku peningkatan pelanggan susulan keputusan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat pada 4 Mei.

Penolong Pengurus Mydin Gong Badak, Suzana Romeli berkata, pengurusan pasar raya telah menetapkan penjarakan sosial dan mengehadkan jumlah pelanggan.

“Dalam satu-satu masa, hanya sekitar 100 pelanggan dibenarkan berada di kawasan membeli iaitu tidak lebih dua orang untuk satu keluarga walaupun ada yang datang lebih dua orang.

“Setakat ini apa yang dilaksanakan berjaya dipatuhi semua rakyat Terengganu, tiada berlaku ketidakpuasan hati mana-mana pihak.

“Kami juga akan terus mengikuti saranan daripada pihak kerajaan dalam memastikan semua pihak mendapat kebaikan dan COVID-19 ini berjaya dihapuskan,” katanya ketika ditemui media semalam.

Dalam pada itu, menurut peniaga pakaian wanita, Farah Azullia Jusoh, 35, dia bersyukur kerana kerajaan membenarkan peniaga sepertinya untuk berniaga seperti biasa.

“Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) saya memang tiada pendapatan untuk diri, keluarga dan anak-anak.

“Jadi setelah kerajaan membenarkan saya berniaga sedikit sebanyak ia mengembirakan saya lebih-lebih lagi untuk menyambut kelahiran anak keempat bulan Ogos nanti,” ujarnya.

Sementara itu, bagi pasangan adik beradik, Nur Zahidah Zakaria, 21, dan Nur Aishah Zakaria, 24, kelonggaran pergerakan yang diberikan kerajaan digunakan sebaik mungkin untuk melunaskan tanggungjawab membeli barangan keperluan untuk keluarga.

“Namun, kami masih berhati-hati, keluar rumah dengan jaga jarak dengan orang lain, gunakan ‘hand sanitizer’ serta pakai penutup mulut dan hidung,” tambah mereka.

Dalam tinjauan kami pada pagi semalam juga mendapati, masih terdapat segelintir orang ramai yang tidak mematuhi SOP PKPB terutamanya membabitkan pembeli di pasar awam.