• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

PeliTer 2023 : Sasar 20,000 Pengunjung

KUALA TERENGGANU, 11 April – Jabatan Pelancongan Terengganu meletakkan sasaran seramai 20,000 orang pengunjung sepanjang program Pelita Raya Terengganu (PeliTer) 2023 di Kampung Budaya Terengganu, Muzium Negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata sasaran tersebut adalah melebihi angka pengunjung pada tahun lepas.

“Program ini diadakan selama lima hari bermula 14 April hingga 18 April dengan tema Comeynya PeliTer itu mengetengahkan konsep ‘1 Pejabat Daerah 1 Rumah Tradisi’.

“Ini adalah kesinambungan daripada program lepas dengan penambahbaikan dan kita yakin program kali ni lebih baik serta meriah dengan sambutan orang awam,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media dan lawatan tapak ke PeliTer @KBT di Kampung Budaya Terengganu, Muzium Negeri, di sini hari ini.

Ariffin juga memaklumkan caj kemasukan ke PeliTer adalah RM1 bagi dewasa manakala percuma bagi orang kelainan upaya (OKU), warga emas dan kanak-kanak bawah umur enam tahun.

Pertandingan fotografi serta video Tik Tok di tapak program juga dibuka buat orang awam dengan keseluruhan hadiah berjumlah RM2,500.

 


Tag: