• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Peluang Cerah Bangunkan IADA KETARA Fasa 2

KUALA TERENGGANU, 22 Ogos - Peluang kerajaan negeri untuk ningkatkan pengeluaran padi melalui Projek kawasan Bersepadu (IADA) Terengganu Utara (KETARA) Fasa 2 kini semakin cerah.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata mandat rakyat yang diberikan kali ini dengan mencapai kemenangan besar tidak akan dipersiakan bagi memastikan segala perancangan untuk kebaikan rakyat dapat diteruskan.

"RM30 juta untuk projek IADA KETARA Fasa 2 nampak macam cerah dan apabila menang ini semakin cerah untuk menjadikan ia sebagai 'prioriti' supaya kawasan-kawasan yang berada di luar jelapang dapat kita salurkan sumber air dari takungan yang memang berlebihan.

"Di empangan Paya Peda kita ada tiga 'wave' yang ada dibuka baru satu, dan ia berpotensi untuk dimanfaatkan untuk IADA KETARA Fasa 2, kerana selama ini air dibuang daripada empangan lebih banyak dibuang daripada yang digunakan," ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa beliau mengadakan kunjung hormat ke Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Terengganu, di sini, hari ini.

Ujarnya, kerajaan negeri mempunyai hala tuju serta matlamat yang jelas  dengan cadangan pembangunan IADA  KETARA Fasa 2 sebagai perancangan bagi meningkatkan sekuriti makanan dan mengekalkan kawasan tanaman padi sedia ada.

"Sebelum ini kawasan-kawasan padi yang berhadapan masalah pengairan, pemilik tanah menjadikannya sebagai tapak bagi menanam kelapa sawit sehingga menjadi punca utama apabila berada di sebelah padi dia akan menjadi tikus dan sarang perosak.

"Kini permohonan untuk menukar syarat tanah terutamanya di kawasan padi aktif tidak diluluskan lagi, kerana kita tengok kehilangan kawasan padi begitu ketara dalam tempoh 10 tahun yang terakhir sebelum daripada ini," ujarnya.