• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Peluang Pekerjaan : Exco Jawab Tohmahan Liar

KUALA TERENGGANU, 8 Januari - Tohmahan liar kerajaan negeri gagal menyediakan 20,000 peluang pekerjaan dalam tempoh sepenggal pentadbiran adalah tidak benar.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, segelintir pihak tidak bertanggungjawab sengaja memainkan isu tersebut kerana mahu memburukkan kerajaan sedangkan janji tersebut adalah ‘achievable'.

"Berdasarkan data Pusat Pembangunan Sumber Manusia Terengganu (THRDC) yang dikongsikan daripada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan PERKESO, sebanyak 10,122 penempatan pekerjaan telah dibuat di negeri ini pada 2019.

"Kemudian, pada 2020 sekitar 3,487 kerja kosong diwujudkan dan 8,368 sehingga Oktober 2021, menjadikan jumlahnya sebanyak 21,977 pekerjaan," jelasnya dalam satu kenyataan kelmarin.

Mengulas lanjut beliau memaklumkan, lebih daripada itu, sehingga 10 Disember 2021 lalu, masih terdapat 8,917 kekosongan jawatan aktif di Terengganu yang boleh diisi oleh rakyat di negeri ini. 

"Ini bermaksud, secara purata kasarnya, terdapat lebih 10 ribu peluang pekerjaan setahun yang tersedia dalam pasaran buruh di negeri ini dalam tempoh tiga tahun ini. 

"Ini semua adalah hasil usaha yang bersungguh-sungguh daripada semua pihak di dalam dan luar kerajaan.

"Saya fikir data ini pun sudah memadai untuk menjawab tohmahan liar sesetengah pihak," ujarnya.


Tag: