• 04 Mei 2024 | 25 Syawal 1445

Pelumba SUKMA, TSG Terus Pamer Aksi Cemerlang

DUNGUN, 5 September- Pelumba Terengganu SUKMA, Muhamad Aiman Haiqal Mohammad Khairul dan Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Mohamad Nur Aiman Mohd Zariff terus mempamerkan aksi cemerlang dalam peringkat kedua Tour Gateh D’Tranung 2023 (TGDT23).

Kedua-dua pelumba tersebut berjaya mempertahankan jersi biru dan jersi putih dalam saingan hari ini.

Peringkat kedua TGDT23 bermula daripada bandar Al-Wathiqu Billah, Kuala Nerus ke Pejabat Daerah Dungun yang melibatkan laluan sepanjang 157.3 km.

Pelumba TSG yang juga merupakan pemegang jersi merah Le Tour de Langkawi (LTdL) 2022 itu berjaya memenangi jersi biru (kategori individu terbaik) dalam saingan hari kedua.

Semalam pada aksi saingan pertama, beliau membolot tiga jersi iaitu jersi biru (kategori individu terbaik), jersi hijau (raja pecut) dan jersi polkadot (raja bukit) setelah menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 3:46:32 saat.

Manakala, Aiman Haiqal pula berjaya memenangi kategori pelumba terbaik bawah 21 tahun (jersi putih) bagi peringkat kedua.

Semalam, dia juga mempamerkan aksi cemerlang dengan memenangi jersi putih pada saingan pertama.

Manakala, jersi merah jambu, yang diperkenalkan dalam kejohanan ini bagi kategori kelab tempatan terbaik dimenangi oleh pelumba MIFH Cycling Group, Mohd Hafiz Rozli.

Seterusnya, bagi jersi hijau (raja pecut) dan jersi polkadot (raja bukit) masing-masing dimenangi oleh pelumba TSS Racing, Muhammad Nur Aiman Rosli dan pelumba Armed Forces Cycling Team, Irwandie Lakasek.

 

 


Tag: