• 05 Mei 2024 | 26 Syawal 1445

Pelumba Terengganu Cemerlang Sarung Jersi Raja Bukit

KUALA TERENGGANU, 23 September – Pelumba Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Muhamad Nur Aiman Mohd Zariff mempamerkan aksi cemerlang pada pusingan pertama setelah memperoleh jersi polkadot (raja bukit).

Peringkat pertama perlumbaan Petronas Le Tour De Langkawi 2023 bermula daripada Kerteh ke Kuala Terengganu yang melibatkan laluan sepanjang 187.4 km.

Aiman Zariff berkata, walaupun menghadapi kesukaran terutama untuk melepasi 30 kilometer terawal, dia bersyukur berjaya mendapatkan rentak tidak lama selepas itu.

“Saya berpuas hati dengan persiapan yang dibuat sebelum menghadapi LTDL, ia membantu saya keluar daripada masalah.

“Seperti menyertai Tour Of Iran, Tour Gateh De Terengganu dan pelbagai lagi latihan bagi menghadapi perlumbaan berprestij ini.

“Motivasi untuk LTDL 2023 ini berbeza dengan sebelumnya kerana pengalaman yang saya dan perlumbaan bermula di Terengganu.

“Insya-Allah saya akan lakukan terbaik sepanjang LTDL 2023 ini,” jelasnya.

Dia berkata demikian ketika Sidang Media Majlis Penyarungan Jersi dan Penyampaian Hadiah Petronas Le Tour De Langkawi 2023 Peringkat Pertama bertempat di Dataran Shahbandar di sini hari ini.

Peringkat Pertama LTdL 2023 menyaksikan pelumba pasukan Tudor Pro Cycling Team, Arvid De Kleijn membolot dua jersi iaitu jersi hijau (juara keseluruhan) dan jersi oren (raja pecut).

Manakala, jersi putih selaku pelumba terbaik Asia dimenangi oleh Pelumba Roojai Online Insurance, Tegshbayar Batsaikhan.

Peringkat kedua perlumbaan esok akan bermula di ‘Drawbrige’ Kuala Terengganu menuju ke Kota Bharu, Kelantan sejauh 186.2 km.

 


Tag: