• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Pemain Muda TFC, Malaysia Bantu Mangsa Banjir

KUALA TERENGGANU, 25 Disember - Keprihatinan pemain muda Terengganu Football Club (TFC), Muhammad Syafik Ismail yang menyertai pasukan sukarelawan banjir di Pahang mendapat pujian ramai pihak terutamanya peminat bola sepak tempatan.

Menerusi gambar yang dimuat naik di Facebook We Bleed Black & White, Syafik dilihat sedang membersihkan kawasan banjir dan berselut.

Susulan perkongsian itu, rata-rata pengguna media sosial telah memuji tindakan pemain muda Malaysia tersebut yang disifatkan peka dan sangat mendalami kesusahan masyarakat.

“Alhamdulillah, syukur ya Allah ada anak muda berbakti pada orang ramai dalam kesusahan,” kata Nor Jamilah Boto.

Syafik (tengah) bersama skuad Harimau Muda.

Seorang lagi pengguna media sosial, Mohd Nasrum Nawi berkata, Syafik telah lama bergiat dalam aktiviti sukarelawan.

"Pengalaman dulu dah ada, tahniah Syafik @ Kacang atas usaha murni anda," ujarnya.

Pemain Harimau Malaya itu turut memberi respon kepada perkongsian terbabit.

"Alhamdulillah, syukur," tulisnya ringkas.

Difahamkan, Syafik kini berada di Pahang bersama Jabatan Amal Malaysia (JAM) bagi membantu mangsa banjir membersihkan kawasan yang terjejas.




 


Tag: