• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Pembangunan Infra Bukit Besi Terus Diberi Perhatian

Oleh: Amiruddin Zamri

DUNGUN, 25 April - Pembangunan infrastruktur seperti kerja-kerja menaik taraf serta membaik pulih jalan kampung, penyelenggaran longkang bermasalah serta kerja-kerja berkaitan terus diberikan perhatian di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi secara menyeluruh.

Pegawai Penyelaras DUN berkenaan, Ghazali Sulaiman berkata, ia perlu dipastikan tetap berjalan dengan lancar walaupun di bulan Ramadan bagi memastikan keselesaan serta kebajikan rakyat tetap terpelihara.

"Kerja ini berjalan melalui peranan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) yang telah bertindak sebagai perantara menyalurkan maklumat mengenai aduan yang dibuat oleh setiap penduduk kepada pihak saya kemudian dipanjangkan kepada pihak berkaitan.

"Maka tindakan sewajarnya telah diambil untuk memastikan setiap masalah dihadapi rakyat dapat diatasi secara berperingkat," ujarnya ketika ditemui pemberita, di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut katanya, dengan tumpuan secara menyeluruh akan meminimakan beban yang dialami rakyat di DUN tersebut.

"Agar tiada yang terlepas pandang, malah secara tidak langsung ia memfokuskan kesejahteraan rakyat yang tetap menjadi keutamaan.

"Serta menzahirkan sikap bahawa kita sangat komited untuk terus memajukan serta membangunkan DUN ini, dengan setiap penyelesaian kepada masalah-masalah ini akan menjadi di antara sebahagian perkara yang mengembirakan rakyat di sini," ujar Ghazali.


Tag: