• 16 Apr 2024 | 7 Syawal 1445

Pembantu Kedai Terharu Rumah Usang Dibaik Pulih

SETIU, 17 Februari - Perasaan ceria jelas terpancar pada wajah Mazuan Ahmad, 46, selepas rumahya dibaik pulih menerusi Projek Perumahan Terengganuku Sejahtera (PPTS) kelmarin.

Rumah Mazuan adalah antara ratusan kediaman yang dipilih untuk dibaik pulih di sekitar Batu Rakit di sini.

Ayah kepada dua anak itu berkata, kediaman yang mempunyai dapur bersekali dengan ruang tamu menjadi tempat berteduh untuk mereka sekeluarga lebih enam dekad.

"Ini peninggalan keluarga yang sudah berusia lebih 60 tahun.

"Apabila sudah berusia sudah pasti banyak masalah akan timbul seperti kebocoran dan keretakan di sana sini.

"Meskipun tidak sempurna seperti rumah keluarga lain tetapi inilah syurga untuk keluarga saya.

"Kami hanya mempunyai rumah ini untuk berteduh dan hari ini kami sudah dapat baik pulih rumah dengan segera," katanya kepada pemberita di rumahnya di Kampung Lingai semalam.

Jelasnya, kesusahan keluarga mereka mendapat perhatian Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dewan Undangan Negeri (Batu Rakit) yang mengunjungi keluarganya baru-baru ini.

Sementara itu, Pegawai Penyelaras DUN Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail berkata bantuan tersebut diberikan kepada keluarga terbanit kerana bahagian lantai sudah runtuh dan bilik air rumahnya sangat usang. 

"Mereka layak dapat bantuan PPTS bagi DUN Batu Rakit.

"Mazuan mempunyai dua orang anak dan anak sulungnya baru berusia 5 tahun, isterinya, Nor Azila Mohamad, 25, tidak bekerja kerana masih mempunyai anak kecil yang masih umur 1 tahun 7 bulan.

“Alhamdulillah, bilik air dan ruang tamu luar keluarga Mazuan sudah dirobohkan dan dibina semula di tapak yang sama," jelasnya.

Tambah Mohd Shafizi, inisiatif itu merupakan bantuan awal membaiki rumah penduduk yang mengalami kerosakan supaya mereka boleh terus tinggal di kediaman mereka.

“Ada puluhan buah rumah lagi yang perlu dibaiki segera. Ada yang rosak dinding, lantai dan atap serta beberapa bahagian lain,” ujarnya.