• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Pembaziran Projek Terbengkalai Kerajaan Dahulu Lebih RM1 Billion

KUALA TERENGGANU, 10 Ogos - Pelbagai projek pembangunan terbengkalai yang dibuat kerajaan negeri sebelum ini melibatkan anggaran jumlah keseluruhan RM1 billion.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, setelah memenangi Pilihan Raya Umum ke-14, Parti Islam Se-malaysia (PAS) mendapati banyak projek yang dimulakan sejak tahun 2004 terbengkalai di Terengganu.

"Bila kita tengok kenapa terbengkalai kerana berlaku pertukaran Menteri Besar, sedangkan mereka dari parti yang sama cuma masing-masing tidak mahu teruskan kerana mahu ada (legasi) sendiri.

"Bila PAS perintah, kita ambil tanggungjawab siapkan yang terbengkalai termasuk yang terbaru di Kijal iaitu Strawberry Park.

"Kita jadi kerajaan kena laksana tugas dengan amanah tanpa pembaziran wang rakyat," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika disoal oleh moderator mengenai satu video tular mendakwa tiada pembangunan dibawa PAS sejak mengambil alih kerajaan negeri pada tahun 2018.

Selain Ahmad Samsuri, turut hadir dalam program Murabbi Nok Jupe : Chat With Me 3.0 di Dataran Jambatan Angkat Kuala Terengganu hari ini ialah Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus.

Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri menegaskan perbelanjaan kerajaan negeri adalah dengan mengikut keutamaan dan keperluan yang memberi manfaat kepada rakyat keseluruhannya.

"Itulah keutamaan kita dan alhamdulillah projek yang terbengkalai sudah pun disiapkan dalam penggal ini.

"Ini amanah Allah untuk kita selesaikan masalah negeri, bukan sekadar tunjuk bangunan tinggi tapi nak selesai masalah rakyat," ujarnya.

 


Tag: