• 14 Okt 2024 | 11 Rabiul Akhir 1446

'Pemberian Pencen Rakyat,Rezeki Buat kami'

HULU TERENGGANU, 7 Februari- "Terima kasih kerajaan negeri.. pemberian bayaran ini bukti kerajaan prihatin dan menghargai kami," kata Chik Abdullah, 81, salah seorang penerima pencen rakyat Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ajil semalam.

Chik berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pemberian bayaran RM 600 setahun itu yang dikhususkan kepada rakyat Terengganu berusia 60 tahun ke atas yang sudah bersara dan tidak menerima mana-mana bantuan daripada agensi kerajaan negeri dan Persekutuan.

Dia yang juga ibu kepada enam anak berkata, jumlah bantuan diterima bukan soalnya, apa yang penting kerajaan peka dengan kebajikan warga emas sepertinya.

"Alhamdulillah, ada juga berita baik diumumkan kerajaan negeri dan sudah pasti menggembirakan saya dan rakan lain.

"Satu inisiatif baik, malah pemberian bantuan itu berupaya meringankan beban terutama bagi kami yang tidak bekerja selain dari sumbangan kewangan dari anak anak, ketika ditemu bual selepas majlis penyerahan bantuan pencen rakyat Negeri Terengganu.

Seorang lagi penerima, Yeap Atong@Yap Soo Too, 77, turut berterima kasih kepada kerajaan kerana prihatin kepada mereka.

"Banyak bantuan diberikan kerajaan sebelum ini kepada rakyat. Saya hanya ada menantu dan cucu. Mendiang suami mengusahakan kedai aksesori kereta ini untuk saya uruskan sebagai mata pencarian utama saya.

"Tiada apa boleh saya ucapkan melainkan rasa terima kasih kepada kerajaan kerana berusaha meringankan beban kami," katanya.

Sementara itu, ADUN Ajil, Maliaman Kassim, berkata bantuan itu merupakan sebahagian daripada manifesto PAS pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) itu direalisasikan bermula 21 Nov 2021.

Beliau berkata, semua penerima yang layak akan menerima bantuan RM50 sebulan sehubungan dengan keputusan kerajaan negeri untuk melakukan pembayaran sebanyak RM300 bagi setiap penerima.

Pembayaran penuh sebanyak RM600 setahun kepada penerima yang layak akan mula dilakukan pada tahun ini.

"Rakyat telah memberi mandat dan kepercayaan kepada kita untuk memerintah negeri ini dan apa yang di janjikan dalam manifesto PAS pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dulu, Insya Allah kita tunaikan janji itu” ujarnya lagi.