HULU TERENGGANU, 24 Mac - Kerja membaikpulih jambatan Kampung Belukar Bukit yang runtuh ekoran banjir besar yang berlaku baru-baru ini sedang giat dijalakan.
Tinjauan Pegawai UPDI Daerah Hulu Terengganu, Ahmad Aminuddin Mohamed ke tapak runtuhan jambatan di kampung tersebut sebentar tadi, mendapati bahawa kerja-kerja awal untuk menyiapkan jambatan sementara di sini beroperasi seperti dijadualkan.
Katanya, operasi itu sudah dilakukan oleh pihak kontraktor yang telah dilantik oleh Kerajaan Negeri sejak semalam.
"Tengah hari tadi, kerja pemasangan kepingan besi (sheet pile) sebagai penghadang pergerakan tanah di tebing sungai sedang giat dilakukan bagi memastikan keselamatan pengguna terjamin dan bagi mengelakkan runtuhan tebing berlaku," katanya.
Difahamkan jambatan besi selebar 1,200 mm dan panjang 20 meter yang mampu dilalui oleh pejalan kaki serta pengguna motosikal bakal dibina di sini untuk sementara waktu bagi merentasi jambatan yang telah runtuh.
Jambatan ini dijangka boleh digunakan pada Ahad ini, 27 Mac 2022 menurut kontraktor di sini.
Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Maliaman Kassim berkata, beliau bersyukur proses pembinaan dapat dimulakan setelah melalui proses tatacara kewangan dan buka tender.
"Dengan kerjasama semua pihak, penduduk kampung dapat menggunakan jambatan sementara untuk aktiviti harian termasuk dapat menghantar anak-anak mereka ke Sekolah Kebangsaan (SK) Betong," katanya.