• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Pembinaan LPT 3, Gemuroh-Tumpat Bantu Kurangkan Kesesakan

Oleh : Muhammad A Rahman

KUALA LUMPUR, 4 Ogos – Pembinaan Lebuhraya Pantai Timur fasa 3 (LPT3) sejauh 150 kilometer yang bermula dari Gemuroh, Terengganu ke Tumpat, Kelantan mampu mengurangkan kesesakan yang berlaku di sekitar kawasan terbabit.

Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir berkata, daerah Setiu merupakan pintu masuk kepada pengguna jalan raya yang menggunakan LPT2 untuk ke Kota Bharu.

"Perkara tersebut menjadi lebih parah apabila tibanya musim perayaan, justeru sekiranya projek LPT3 dapat disegerakan masalah kesesakan yang berlaku pasti dapat dibendung,” ujar beliau perbahasan usul titah Yang di-Pertuan Agong, bagi kementerian itu  di Dewan Rakyat, di sini baru-baru ini

Menjawab perkara yang dibangkitkan itu semalam, Menteri Kanan Infrastruktur yang juga Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof  berkata, pelaksanaan pembinaan Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) telah diluluskan dengan kos kerja-kerja awalan keseluruhan berjumlah RM35 juta.

Katanya, ia diluluskan menerusi satu surat bertarikh 3 Julai 2019 daripada Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri.

"Kerja awalan projek tersebut telah bermula pada Ogos 2020 dan dijangka siap April 2022.

"Oleh yang demikian, hala tuju, skop dan tarikh pelaksanaan bagi projek LPT3 ini hanya dapat dimuktamadkan setelah laporan kerja awalan bagi projek ini diperoleh," tambah beliau. 


Tag: