• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Pembinaan RMM Kampung Tajin berjalan Lancar

HULU TERENGGANU, 25 Oktober - Rumah Mampu Milik (RMM) Kampung Tajin kini dalam proses pembinaan dan dilaporkan berjalan lancar, seperti mana yang dijadualkan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr Mamad Puteh berkata sehingga hari ini, pembinaan RMM Kampung Tajin berjalan dengan baik dan akan siap tidak lama lagi.

"Sebanyak 250 buah unit RMM sedang dibina dan proses pembinaan berjalan dengan lancar setakat ini.

"InsyaAllah, saya jangkakan perumahan ini akan dapat disiapkan pada jun 2021," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke tapak RMM di hadapan Sekolah Menengah Sains Hulu Terengganu (SAHUT), Kampung Tajin, baru-baru ini.

Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Pegawai Penyelaras Parlimen Hulu Terengganu, Muhyiddin Abdul Rashid dan Penyelaras Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) DUN Kuala Berang, Mohamed Abdullah.

Menurut beliau yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau Negeri berkata, pihaknya turut berhasrat untuk membina sebuah masjid bagi kemudahan penduduk di kawasan Limau Rendang ini.

"Ada beberapa ekar tanah di sini (Limau Rendang) yang kita akan buat pengambilan untuk bina masjid. Ini kerana, masjid yang baru ini boleh digunakan oleh masyarakat dan pelajar di sekolah yang terdekat di kawasan ini," katanya.