• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Pemimpin Keluarga Perlu Bijak Urus Kewangan

SETIU, 22 September – Setiap pemimpin keluarga disaran agar membuat keputusan yang bijak dalam menguruskan kewangan masing-masing.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, perkiraan itu termasuk dengan memberi keutamaan kepada keperluan yang lebih penting berbanding perkara lain.

"Sebanyak manapun sumber pendapatan, duit yang kita ada tetap mempunyai had yang mana kita perlu meletakkan di manakah keutamaannya.

"Dengan jumlah pendapatan yang ada, kita perlu bijak mengatur antara keperluan mendesak, keperluan biasa dan keperluan pelengkap.

"Dalam menyusun perbelanjaan, kita perlu tahu tahap-tahapnya. Jangan kita pasang ‘spoiler’ kereta tetapi selipar isteri yang putus disuruh ikat dengan dawai. Ini tak kena sebab kita tak tengok daripada segi keperluan dan keutamaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Ibu Bapa Cemerlang Taska Permata di Dewan Teater Kolej Bestari, Permaisuri di sini hari ini.

Menurutnya, ibu bapa yang dapat menyusun perbelanjaan dan keperluan anak-anak dengan baik adalah pemimpin keluarga cemerlang.

"Sekarang ini, bila kita dibekalkan dengan pelbagai ilmu, kemahiran dan nasihat daripada pakar-pakar sepatutnya ia memberi nilai tambah kepada kebijaksanaan semula jadi yang telah dikurniakan oleh Allah.

"Sama juga dengan jabatan, sebagai wakil rakyat perlu bijak mengatur untuk semua bagi rasa biarpun sikit. Begitu juga dengan kerajaan, bagaimana untuk membuat agihan kewangan yang dirancang supaya dengan jumlah yang kita ada memberikan manfaat. 

"Apabila kita tahu yang mana keutamaan, insya-Allah dalam jumlah yang kita ada kita boleh rancang untuk dapat sesuatu sekadar yang kita mampu," tambah beliau.