• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Pemimpin, Rakyat Perlu Saling Bantu Bangunkan Negeri - Dr Sam

KUALA TERENGGANU, 7 September – Pemimpin dan rakyat perlu saling membantu dalam membangunkan negeri ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata mengemudi negeri ini, ibarat diamanahkan menjadi pemandu kepada sebuah bas.

“Diminta menjadi pemandu bukanlah kerana sebab pandai memandu, tetapi atas sebab-sebab tertentu dengan izin Allah SWT.

“Apabila membawa bas, maka ada syarat dan peraturan jalan raya yang perlu pemandu dan penumpang bas patuhi.

"Destinasi yang dituju juga adalah dengan persetujuan bersama,” katanya dalam hantaran di laman Facebook rasmi miliknya pada semalam.

Tambah Ahmad Samsuri, jika nampak saya bawa laju atau terlalu perlahan, pasti ada penumpang yang mengeluh.

Maka, tanggungjawab penumpang juga untuk menasihati dan menyedarkan saya selaku pemandu.

"Apabila bas rosak di tengah jalan, bukan tugas pemandu untuk membaiki, mungkin ada di kalangan penumpang yang boleh membaiki.

"Setiap penumpang ada peranan masing-masing, sepertimana yang disebut di dalam Kitab Riyadhus Solihin, tajuk khusus 'Nasihat Kepada Pemerintah'.

“Banyak isu berkaitan pemerintah terutamanya bab amanah, paling banyak nasihat ini adalah kepada pemerintah.

“Doakan saya dan seluruh kepimpinan agar sentiasa dipandu dan diberi kemudahan dalam tindakan,” ujarnya.

 


Tag: