• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Pemohon RMM Perlu Kemaskini Maklumat Sebelum 31 Disember Ini

Oleh: Safwan Syakir

KUALA NERUS, 26 Ogos- Pemohon Rumah Mampu Milik (RMM) Negeri Terengganu diminta mengemaskini maklumat permohonan masing- masing bermula 1 September ini Sehingga 31 Disember depan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, kemaskini boleh dibuat secara atas talian dengan melayari sistem ePerumahan versi III di pautan https://eperumahan.terengganu.gov.my/

Menurut beliau, sistem permohonan RMM Negeri Terengganu (ePerumahan) Versi III telah dilancarkan oleh Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar secara maya menerusi siaran langsung Facebook TV Darul Iman (TVDI), semalam.

"Permohonan RMM secara atas talian telah bermula Januari 2014 menerusi sistem permohonan RMM (ePerumahan) kemudian dinaiktaraf ke Versi Il pada tahun 2018 dan sekali lagi melalui proses penambahbaikan termasuk perkakasan server bagi memenuhi kehendak semasa.

"Pendaftaran dan permohonan akan dibuka mulai 1 September ini dan bagi yang telah mendaftar sebelum ini perlu mengemaskinikan maklumat permohonan sebelum akhir tahun ini ," ujarnya kepada pemberita.

Alias berkata, sekiranya gagal berbuat demikian, pemohon perlu membuat pendaftaran dan permohonan baharu.

"Permohonan adalah melalui pilihan projek yang akan diiklankan dari semasa ke semasa bagi mengelakkan lambakan permohonan sepertimana yang wujud sebelum ini," ujarnya.

Tambah beliau, menerusi sistem ePerumahan versi III ini yang telah dinaiktaraf ini akan memudahkan pemohon membuat permohonan RMM jenis A dan B, Skim Pembiayaan Perumahan Terengganu atau i-rahman serta pembelian dan pembinaan RMM atas tanah sendiri.