• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Pemuda Kuala Berang Menang Pertandingan Cipta Logo Hari Kebangsaan



Seorang pemuda dari Kuala Berang, Terengganu, Nik Zulkifli Nik Itam tidak menyangka rekabentuk yang dihasilkan untuk Pertandingan Mencipta Logo Sempena Hari Kebangsaan 2018 anjuran Kementerian Komunikasi dan Multimedia dipilih sebagai pemenang utama.

Lebih membanggakan, logo ciptaannya bertemakan ‘Sayangi Malaysiaku’ itu menjadi pilihan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurut Nik Zulkifli, logo yang dihasilkannya membawa maksud warganegara yang terdiri daripada berbilang bangsa hidup dalam kepelbagaian, harmoni, seia sekata, bersatu padu dan terpahat perasaan kasih sayang yang kukuh kepada negara.

“Dapat je tema tu, terus buat lakaran ‘’Sayangi Malaysiaku’, saya mula dengan lakaran menggunakan garisan-garisan yang lembut sebab ‘Sayangi Malaysiakukan’, ada jenis rekaan dia bersegi, petak jadi saya elakkan perkara-perkara macam tu.

“Saya mulakan dengan huruf lakaran S dan M dan saya olahkan menjadi bentuk love, bentuk sayang, bentuk hati, S jadi bentuk orang dan sebagainyalah secara manual. Apabila puas hati barulah saya siapkan reka bentuk menggunakan komputer,” ujarnya ketika bersiaran di TV1, semalam.

Logo ‘Sayangi Malaysiaku’ ciptaan Nik Zulkifli adalah antara 623 penyertaan yang diterima kementerian untuk dipilih sebagai logo rasmi Hari Kebangsaan 2018.

Logo tersebut yang dipilih sendiri oleh Perdana Menteri pada 25 Julai lalu, menggambarkan simbol rakyat melakukan gerakan riang mengangkat tangan dengan satu bentuk hati di hadapan menyatukan mereka.


Tag: