• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Penantian 11 Tahun Miliki Rumah Sendiri Tercapai

KEMAMAN, 22 September-  "Selepas hampir 11 tahun menunggu, impian memiliki rumah sendiri akhirnya tercapai juga," kata Nur Farhana Bahrun, seorang daripada 150 penerima Rumah Mampu Milik (RMM) Seri Bandi.

Nur Farhana, 32, dari Kampung Seri Bandi berkata, dia yang membuat permohonan lebih kurang empat tahun yang lalu gembira apabila terpilih menerima bantuan yang dikelolakan oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Terenganu Bahagian Perumahan dan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) itu.


“Terima kasih kerajaan negeri untuk rumah mampu milik ini, sangat terharu kerana ini rumah pertama saya, sejak daripada kerja-kerja pembersihan tapak dilakukan saya sangat mengharapkan ia akan menjadi milik saya.

“Sebelum ini saya menumpang di rumah keluarga, memandangkan usia perkahwinan sudah menjangkau 11 tahun saya dan suami Mohd Remee Ramli, 37, amat berharap dapat memiliki kediaman sendiri,” ujarnya yang ditemui selepas menerima bantuan berkenaan di sini, hari ini.

Nur Farhana dan beberapa penerima lain menerima replika kunci rumah yang disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai di majlis penyerahan yang diadakan di Tapak Perumahan Seri Bandi, hari ini.


Turut hadir, Pegawai Kewangan negeri, Dato' Zainal Abidin Hussin, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak dan Ketua Pegawai Eksekutif PMINT, Wan Adnan Wan Derahman.


Sementara itu, Hanafiah yang mewakili Menteri Besar Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri menyempurnakan majlis tersebut berkata, pembinaan 220 unit RMM Seri Bandi di atas tanah kerajaan tersebut telah bermula pada November 2016 dan berjaya disiapkan pada bulan Mei yang lalu.


“Pada majlis hari ini, dengan penuh kesyukuran kita serahkan kunci kepada 150 orang penerima dan bakinya akan menyusul selepas ini.


“Tahniah saya ucapkan dan diharapkan para penerima dapat bersama-sama menjaga segala kemudahan yang diberikan oleh kerajaan negeri, pelihara kemudahan ini (rumah) dengan baik dan jagalah kebersihannya,” ujarnya.