• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Penantian 30 Tahun Penduduk Kampung Padang Ping Berakhir

DUNGUN, 6 September- Penantian kira-kira 30 tahun penduduk Kampung Padang Ping disini untuk mendapatkan bekalan air bersih secara terus ke rumah berakhir dengan pemasangan paip utama yang baru melalui Projek Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) berkenaan, Nik Othman Nik Muhamud berkata, projek berkenaan memberi manfaat kepada 20 buah keluarga yang selama ini bergantung kepada air telaga sepenuhnya, justeru mengharapkan bekalan air sempurna. 

Katanya, walaupun sebelum ini terdapat paip utama namun kerap berlaku kebocoran dan terputus bekalan air.

"Kos bagi sambungan baru amat tinggi dan dikhuatiri menjadi beban kepada penduduk yang baru membuat permohonan. Jadi saya mewakili penduduk kampung mengucapkan terima kasih kepada pihak Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Bukit Besi (DUN) Ghazali Sulaiman dan Ahli Parlimen Dungun,Wan Hassan Mohd Ramli yang selama ini memberi kecaknaan serta berusaha menyelesaikan masalah ini.

"Selama ini kediaman penduduk yang berada di jalan utama tiada menghadapi masalah, tetapi terkesan kepada mereka yang tinggal jauh sedikit dari jalan besar. Alhamdulillah sangat bersyukur apabila masalah ini telah diatasi, dan sekarang ini projek pemasangan paip ini sedang dijalankan lebih 50 peratus, seluruh penduduk menyambut gembira," ujarnya kepada pemberita selepas menerima kunjungan Ghazali kelmarin.

Dalam pada itu Ghazali mengharapkan agar Kampung Padang Ping akan membangun dan bekalan air yang diterima akan membantu penduduk memenuhi keperluan harian.

"Juga diharapkan anak-anak muda yang berhajat untuk mendirikan rumah di kampung ini dapat diteruskan, selama ini alasan mereka disebabkan ketiadaan bekalan air,semoga kawasan ini selepas ini akan pesat membangun dan akan membantu penduduk bagi melakukan pelbagai kegiatan ekonomi,"ujarnya.

Sementara itu, bagi penduduk kampung, kemudahan ini adalah sesuatu yang amat dinantikan mereka.

Menurut seorang penduduk, Rafidah Abdul Wahab, perkara berkenaan sangat mengembirakan dirinya setelah sekian lama tinggal di kampung terbabit.

"Selama ini saya terpaksa bergantung dengan air telaga. Kalau hujan adalah air kalau tidak telaga akan jadi kering, untuk air minum pula kita ambil air dari surau. 

"Sekarang ini rasa suka sangat alhamdulillah, terima kasih kepada seluruh pihak yang terlibat termasuk MPKK," ujarnya.


Tag: