• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Penantian 38 Tahun Akhirnya Bernoktah

HULU TERENGGANU, 2  Disember - Selepas hampir 38 tahun menanti untuk mendapatkan jalan berturap, penduduk Kampung Jerlan kini mampu tersenyum selepas impian mereka akhirnya tertunai.

Pembinaan jalan baharu menghubungkan sebahagian kampung terbabit yang tertunda kini direalisasikan apabila jalan menghubungkan Kampung Jerlan dengan jalan utama telah siap diturap lebih satu kilometer. 


Juwariah Che Lah, 62, berkata, dia bersyukur ke hadrat Ilahi dan berterima kasih kepada kerajaan Terengganu khususnya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Ustaz Maliaman Kassim.

"Hampir 38 tahun menanti, hari ini baru jadi kenyataan, dulu ada 15 keluarga di sini tetapi semua berpindah keluar akibat jalan yang teruk dan kini hanya tinggal saya dan jiran sahaja.

"Sebelum ini jalan menghubungkan ke rumah saya amat menyedihkan apabila terpaksa melalui jalan becak dan keadaan itu menyebabkan penduduk di kampung ini berdepan kesukaran perhubungan yang membolehkan penduduk membawa keluar hasil kebun dengan mudah.

“Paling penting anak-anak penduduk sekarang ni mudah untuk pergi dan balik dari sekolah. Sedangkan sebelum ini mereka terpaksa melalui jalan yang berdebu ketika kemarau dan becak ketika hujan.Jadi, saya amat berterima kasih kepada Ustaz kerana menunaikan impian penduduk kampung yang mahu jalan selesa,” katanya ketika ditemui wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman(UPDI).



Sementara itu Ustaz Maliaman berkata, keperitan penduduk yang terpaksa melalui jalan becak dan berdebu sejak puluhan tahun lalu kini dapat ditunaikan. 

 “Masih banyak kemudahan asas di DUN Ajil ini yang perlu kita tunaikan, mana yang perlu disegerakan, kita ikhtiar supaya dapat ditunaikan dalam masa terdekat.Tidak semua isu kita dapat selesaikan dalam masa tempoh baru dua tahun memegang tampuk pemerintahan.


“Saya sangat bersyukur kepada ALLAH mempermudahkan urusan ini. Alhamdulillah, sekarang proses penurapan jalan sedang berjalan, kita sujud syukur kepada ALLAH,” katanya.