• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Penantian Satu Penyeksaan

KEMAMAN, 23 Oktober - "Penantian itu satu penyeksaan," itu antara luahan hati Abdul Rasid Abdullah, 50, setelah gembira menerima hak milik tanah dalam satu Majlis Penyerahan Hak Milik Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Berenjut dan Teluk Nyiur serta Borang 5A RTB di kawasan Kampung Fikri (Mukim Banggol) yang berlangsung di Dewan Badminton, Pejabat Daerah & Tanah Kemaman, baru-baru ini.

"Terima kasih diucapkan kepada kepimpinan kerajaan negeri serta Pejabat Daerah dan Tanah Kemaman," ujarnya.

Beliau yang menanti selama hampir 20 tahun untuk memiliki tanah sendiri berakhir apabila menerima hak milik tanah yang disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Hanafiah Mat.

"Saya sangat gembira kerana  menanti sangat lama untuk memiliki tanah ini," katanya lagi ketika ditemui pemberita.

Apabila ditanya perancangannya setelah menerima hak milik tanah berkenaan, katanya, beliau akan membina sebuah rumah di atas tanah berkenaan. 

"Modal untuk buat rumah memang dah lama ada, hanya menunggu tanah. Sekarang modal itu masih ada lagi. InsyaAllah, saya akan bina pagar dan seterusnya membina sebuah rumah," katanya yang menerima tanah RTB Berenjut seluas 607 meter persegi.

Dalam majlis tersebut seramai 68 orang menerima hak milik tanah bagi kawasan RTB Berenjut dan RTB Teluk Nyiur. Manakala 56 orang lagi menerima Borang 5A RTB bagi kawasan Kampung Fikri.


Tag: