• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

Pencarian Warga Emas Hilang Masih Diteruskan

HULU TERENGGANU, 27 Februari - Operasi mencari seorang wanita warga emas yang hilang di Kampung Gaung Hangus, Tok Dor, Ajil di sini masih diteruskan pada hari ke tiga selepas disedari hilang oleh keluarganya Rabu lalu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Berang, Hanaffi Mohd berkata, operasi mencari dan menyelamat warga emas itu, Lijah Embong, 81, bermula pada sejurus menerima laporan kehilangannya pada keesokannya. 

Menurutnya, seramai 68 anggota membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Jabatan Amal Hulu Terengganu terlibat dalam operasi tersebut.

Pada masa sama, katanya, seramai 80 penduduk kampung turut membantu mencari warga emas itu yang juga mengalami masalah ingatan.

“Operasi mencari dan menyelamat pada hari ini melibatkan kawasan seluas 10 kilometer dari rumah wanita terbabit.

“Setakat ini, kita tidak menemui sebarang petunjuk ditemui sejak operasi itu dilancarkan,” katanya ketika ditemui di Kampung Gaung Hangus di sini hari ini.

Sementara itu,  menantu mangsa, Muhamad Rashid, 42, berkata, ahli keluarganya  masih berharap agar mertuanya ditemui dalam keadaan selamat walaupun hilang kira-kira empat hari lalu.

Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Maliaman Kassim berkata, beliau memohon kepada semua supaya dapat sama-sama berdoa dan solat hajat agar makcik Lijah dapat ditemui dengan keadaan selamat.

Maliaman turut meluangkan masa meninjau operasi pencarian pada hari ini.