• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Pendapatan Hotel Paya Bunga Meningkat 40 Peratus

KUALA TERENGGANU, 9 Ogos - Hotel Paya Bunga (PB), milik penuh kerajaan Terengganu berjaya meningkatkan pendapatan bagi tahun 2022 sebanyak RM15.7 juta atau 40.2 peratus berbanding 2021.

Pengerusi Lembaga Pengarah Hotel PB, Ahmad Shah Mohamed berkata, berdasarkan prestasi itu pihaknya menyasar pendapatan RM20.5 juta pada 2023 menerusi pelbagai pakej perkhidmatan yang ditawarkan.

Katanya, setakat Julai lalu, Hotel PB mencatatkan jumlah pendapatan sebanyak RM10.3 juta dan jangkaan pendapatan itu realistik berdasarkan prestasi kewangan Hotel PB yang terus mencatatkan pertumbuhan memberansangkan.

“Pada tahun 2022, jumlah pendapatan Hotel PB adalah sebanyak RM15.7 juta iaitu peningkatan sebanyak 40.2 peratus berbanding jumlah pendapatan pada tahun 2021 iaitu sebanyak RM11.2 juta.

Disebalik kenaikan kos operasi seperti kenaikan harga barang dan gaji minimum, pihak pengurusan telah berjaya mengekalkan keuntungan sebelum cukai melebihi RM2 juta setahun,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Ahmad Shah, Hotel PB mencatat keuntungan sebelum cukai sebanyak RM2.6 juta pada tahun 2022 dan RM2.7 juta pada tahun 2021.

Beliau yang juga mantan ADUN Bandar memaklumkan, Hotel PB telah mendapat kontrak bekalan makanan dan minuman daripada salah satu anak syarikat Petronas pada Jun lalu.

“Kontrak ini akan terus mengukuhkan lagi prestasi kewangan hotel pada tahun-tahun akan datang.

Menurut beliau lagi, perkhidmatan yang terbaik dan kepuasan para tetamu hotel menjadi keutamaan kepada ahli lembaga pengarah, pengurusan serta semua kakitangan.

“Baru-baru ini, Hotel PB telah mendapat anugerah Best City Hotel By Country oleh International Travel Award 2023 yang telah diadakan di Dubai.

"Kami akan terus mencari peluang perniagaan di dalam bidang hospitaliti terutamanya perkhidmatan bekalan makanan dan minuman, kemudahan dan pengurusan acara serta lain-lain bagi mengukuhkan lagi kewangan," ujarnya.