• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Pendidikan Awal Penting Dalam Mencegah Bahana Arak

Oleh: Rohayati Ripin

KUALA TERENGGANU, 29 Oktober – Pendidikan pada peringkat awal dalam kalangan orang Islam adalah mustahak bagi membawa budaya yang baik terutamanya bagi mencegah perbuatan haram seperti minum bahan yang beralkohol.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Haji Yahaya Ali berkata, perlu diwujudkan suatu sistem di peringkat prasekolah dalam membentuk generasi yang baik pada masa akan datang.

“Di antara yang penting dalam soal sistem pendidikan, kita mahu sistem ini dapat memenuhi apa dikatakan falsafah pendidikan Islam itu sendiri untuk melahirkan  insan yang seimbang dari segi rohani, inteleknya, emosi dan jasmani dalam bentuk bersepadu.

“Jadi perkara ini perlu dibina daripada awal prasekolah hingga institut pengajian tinggi supaya kesedaran beragama itu mesti dibina sepanjang masa. Kalau dari kecil berterusan hingga peringkat lebih tinggi saya yakin masyarakat kita ini akan melihat isu arak ini sangat merosakkan ibu segala maksiat yang perlu dijauhi,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam satu forum atas talian dianjurkan oleh Terengganu Strategic & Integrity Institute, pada semalam.

Justeru itu, beliau berharap ahli Badan Legislatif melihat perkara ini sebagai isu serius dan pada masa yang sama pihak kerajaan sendiri perlu lebih tegas.

“Supaya kita mahu dalam negara kita ini walaupun ada kebebasan di kalangan orang bukan Islam untuk minum arak secara privasi tapi tidak boleh kita katakan apa sahaja perkara berkait dengan arak walaupun mereka berhak minum arak.

“Mereka boleh bertindak bebas yang menyebabkan kita tidak menjaga dari segi keharmonian masyarakat itu sendiri,” tegasnya.

Beliau menambah, kerjasama semua pihak memainkan peranan masing-masing yang amat penting.

“Di peringkat mereka yang berkuasa mesti ada suatu kemahuan yang begitu tinggi bagaimana kita nak melaksanakan tanggungjawab sebagai orang Islam dan khalifah Allah di atas muka bumi ini.

“Islam bukan hanya dilaksanakan secara peribadi tentang solat, puasa tetapi untuk melahirkan masyarakat yang bertakwa, dibina atas dasar akidah yang sudah tentu hasrat  utama umat Islam,” tambah beliau lagi.