Penduduk Dungun Perlu Bersedia Hadapi Banjir Besar
DUNGUN, 2 Januari - Khidmat Malaysia Dungun bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan banjir besar berlaku berikutan daerah ini kembali banjir pada Jumaat lalu.
Ketika ini, cuaca di kampung berkenaan berada dalam keadaan mendung dan paras air sungai Sungai Dungun di Kampung Pasir Raja, Dungun juga direkodkan melepasi paras amaran dengan bacaan 38.36 meter (m) melebihi paras normal 34.5m.
Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Banjir Negeri Terengganu sehingga jam 10.00 pagi ini, masih terdapat mangsa ditempat di Dua Pusat Permindahan Sementara (PPS) di daerah ini.
PPS itu adalah Dewan Orang Ramai, Pasir Raja yang mencatatkan jumlah 22 Keluarga dengan bilangan mangsa 69 orang, dan Dewan Orang Ramai Kampung Shukor pula merekodkan 20 keluarga membabitkan 68 mangsa .
Pengarah Khidmat Dungun, Khairul Ismail berkata pihaknya meminta kerjasama penduduk setempat terutama yang berada di kawasan rendah sentiasa berwaspada dan bersiap sedia untuk berpindah pada bila masa-masa.
“Bawa barang keperluan, dokumen penting dan ubat-ubatan, jaga kesihatan dan keselamatan diri dan anak-anak,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman semasa melakukkan tinjauan bersama Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman dan Komander Jabatan Amal Malaysia (JAM) Dungun, Tarmizi Hilmi Mohamad Zuber di sini semalam.
Sehubungan itu, JAM Dungun sudah bersiap sedia untuk mengerakkan anggotanya serta aset mereka yang terdiri sebuah kenderaan pacuan empat roda, bot dan van, pada bila-bila masa sahaja.
Menurut Tarmizi, pihaknya dalam proses menghantar bot ke Bukit Besi dalam masa terdekat.
"Begitu juga aset-aset lain dan daripada tinjauan Pasir Raja akan berlaku banjir lagi, kalau tahun lepas berlaku enam fasa banjir yang memakan masa selama dua bulan dan ini baru gelombang pertama," ujarnya.