• 28 Apr 2024 | 19 Syawal 1445

Penduduk Gembira Terima Jalan Berturap



Oleh: Hidayah Azlin

SETIU, 6 Ogos- Kesulitan kira-kira 50 orang penduduk Kampung Cabang Oh, Jabi, yang terpaksa menggunakan jalan tanah merah yang rosak dan berlubang selama ini berakhir apabila jalan sepanjang 300 meter di kampung tersebut selesai diturap dan dibuka kepada orang ramai.

Mohd Azam Zakaria, salah seorang penduduk di situ menzahirkan kegembiraan dan kesyukuran kerana permasalahan jalan berlumpur sejak sekian lama di kampung itu menemui penyelesaian.

“ Alhamdulillah, terima kasih Yang Berhormat.  Gembira sangat rasa sebab lama dah mohon naik taraf jalan berturap seperti ini. Penduduk di sini ternanti- nanti jalan baru kerana jalan lama sentiasa dipenuhi lumpur terutama waktu hujan.

“Sebelah sana ada orang mengangkut tanah bukit. Sikap tidak bertanggungjawab sesetengah kontraktor yang meninggalkan jalan rosak (akibat muatan berat) begitu saja tanpa menambun batu menyusahkan kami walaupun sudah diberi peringatan. Tapi bermula hari ini semua dah berakhir,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI ketika lawatan Dr Azman ke kamping berkenaan, semalam.

Turut hadir, Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Jabi, Norisabri Ismail, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Cabang Oh, Ab Rahim Ghazali serta Penolong Penyelia Hal Ehwal Kemasyarakatan i-MiTS, Zakaria Mahmud.


Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dr Azman Ibrahim berkata, menjadi satu kepuasan kepadanya apabila dapat merealisasikan impian rakyat yang saban tahun mengimpikan jalan lebih selesa untuk kegunaan seharian.

Katanya, jalan tersebut merupakan salah satu janji ketika tempoh kempen Pilihanraya Umum ke- 14 lalu.

Tag: