• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Penduduk Hulu Terengganu Kini Nikmati Jaringan Telekomunikasi 4G

KUALA TERENGGANU, 3 Julai -Penduduk di Hulu Terengganu kini boleh menikmati jaringan telekomunikasi lebih baik selepas tiga menara komunikasi baharu mula beroperasi pada 31 Mei lalu dengan liputan 4G.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) berkata, tiga lokasi menara itu dibina di Kolej Hutecs, Kampung Kepah dan Kampung Machang.

"Pembinaan tiga menara yang dilaksanakan di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) itu turut memberi manfaat kepada lebih 3,000 penduduk di sekitar kawasan menara seperti Kampung Butut, perumahan Tok Hujib, perumahan Seri Bajar, Kampung Tengkawang dan Kampung Matang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, MCMC berkata pembinaan menara-menara komunikasi baharu itu juga membantu meningkatkan taraf hidup penduduk setempat selain mempersiapkan penduduk berhadapan dengan era digital yang kian mencabar.

"Pada masa yang sama, dengan adanya liputan 4G di kawasan-kawasan yang dimaksudkan, ia juga membantu para guru dan pelajar sekolah untuk melaksanakan serta mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dengan lancar dan berkesan," ujarnya.