• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Penduduk Kampung Apal Bakal Terima Masjid Baharu

Oleh : Faris Ameir Ibrahim 

SETIU, 19 April – Penduduk di Kampung Apal dapat menarik nafas lega apabila bakal menerima sebuah masjid baharu sekali gus memberi keselesaan untuk beribadat dan melakukan aktiviti komuniti.

Ahli parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir berkata, beliau bersyukur dan berpuas hati selepas proses pembinaan syiar bagi umat Islam itu telah bermula sejak semalam meskipun terpaksa melalui proses yang agak panjang.

Katanya, bermula tahun lalu, pihaknya telah mengemukakan surat permohonan rasmi kepada Perdana Menteri (PM), Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk melaksanakan projek-projek infrastruktur melalui peruntukkan khas PM. 

"Dalam permohonan itu, sebanyak 13 projek infrastukur telah dikemukakan dan lima daripadanya telah diluluskan pada November 2020. Antara permohonan pembinaan yang diluluskan ialah Masjid Kampung Kuala Kubang, pembinaan Masjid Pengkalan Merbau, Dewan terbuka Kampung Kerandang dan dua jalan pertanian Felda Kampung Rahmat dan Felda Kampung Chalok Barat.

”Kemudian pada 3 Disember 2020, saya telah mengemukakan rayuan terhadap pembinaan Masjid Kampung Apal dan di samping mencadangkan enam projek bina baru masjid, iaitu Masjid Bukit Layat, Masjid Kampung Kasar, Masjid Merbau Menyusut, Masjid Kampung Beris Tokku, Masjid Maras dan Masjid Guntong Dalam.

"Cadangan-cadangan yang dibuat ini berdasarkan keadaan bangunannya yang sudah uzur dan usang. Bahkan dinding dan lantai reput dimakan anai-anai dan ada yang sudah beralih kiblat," katanya kepada UPDI.

Menurut beliau, permohonan pembinaan Masjid kampung Apal asalnya tidak diluluskan kemudian pada bulan yang sama beliau terus mengemukakan rayuan.

"Alhamdullilah, pada penghujung Mac yang lalu, PM telah meluluskan peruntukkan untuk bina baru Masjid Apal," jelasnya.

Mengulas berkenaan pembinaan Masjid Felda Chalok Barat pula, beliau memaklumkan semasa penghujung tahun 2019 kelulusan untuk pembinaan bina baru Masjid Felda Chalok Barat dengan kos RM2 juta telah diluluskan selepas permohonan rasmi dihantar kepada mantan Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

"Kos pembinaan masjid ini menelan belanja RM4 juta tetapi dikongsi bersama oleh Kerajaan Persekutuan dan Negeri.

"Selain itu juga, Kerajaan negeri juga ada meluluskan dua pembinaan masjid iaitu Masjid Mengabang Lekar dan Masjid Bukit Tanah," tambahnya.


Tag: