• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Penduduk Kg Pasir Raja Perlu Siap Siaga Hadapi Banjir Gelombang Ketiga

KUALA TERENGGANU, 26 Disember - Penduduk di Kampung Pasir Raja, Dungun harus bersedia menghadapi kemungkinan gelombang ketiga banjir yang dijangka berlaku pada 30 dan 31 Disember ini.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana negeri, Hanafiah Mat berkata, mereka dinasihatkan peka dengan perkembangan cuaca di kawasan masing-masing dan jika arahan dikeluarkan oleh pihak berkuasa serta pejabat daerah mereka perlu segera berpindah.

Katanya, semua pihak yang terlibat perlu sentiasa waspada dengan situasi semasa dan patuh dengan arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa sekiranya dikehendaki berpindah ke PPS terutama penduduk di kawasan berisiko tinggi.

"Langkah-langkah awal perlu diambil termasuk menyimpan barangan ke tempat selamat selain segera berpindah ke PPS jika kawasan mereka mula dinaiki air.

“Semua agensi kerajaan bersedia untuk mengawal selia jika berlaku keadaan luar biasa di Sungai Dungun yang dijangka melepasi paras bahaya pada tarikh berkenaan,"ujarnya ketika dihubungi.

JPS dalam kenyataan malam tadi memaklumkan kemungkinan itu dikeluarkan susulan Ramalan Cuaca Signifikan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) bagi tarikh 25 Disember hingga akhir tahun ini.

Pada tempoh sama, ramalan risiko berkenaan turut membabitkan daerah Dungun dan kawasan sekitarnya di Terengganu ekoran aras air di Sungai Dungun di Kampung Pasir Raja juga dijangka naik melepasi aras bahaya.