• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Penduduk Mahu Projek Akuapolitan Kuala Nerus Diteruskan



KUALA NERUS – Penduduk di daerah ini mahu projek Akuapolitan Kuala Nerus (AKN) di Seberang Takir diteruskan walaupun Kerajaan Pakatan Harapan (PH) masih tidak memberi kata putus mengenai status projek itu sehingga kini.

Projek dianggarkan menelan belanja RM180 juta dilancarkan semasa Kerajaan Barisan Nasional (BN) menerusi pelan induk akuapolitan yang bertujuan memberi manfaat kepada nelayan di kawasan sekitar.

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir, Haji Mohd Fazil Wahab berkata, projek Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) untuk kepentingan rakyat di Seberang Takir, khususnya meningkatkan taraf hidup golongan nelayan setempat.

“Sebelum pilihan raya baru-baru ini, Mantan Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman telah mengatakan bahawa satu projek besar akan dijalankan untuk meningkatkan taraf ekonomi penduduk Seberang Takir yang rata-ratanya bekerja sebagai nelayan, jadi kerajaan buat.

 “Saya difahamkan juga nak buat perumahan yang cukup menampung sebahagian penduduk rata-rata sebagai nelayan. Tapi selepas kerajaan berubah, kalau di peringkat kita, kita bersetuju (projek itu),” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media pada program `Kuca Sure' Peringkat DUN Seberang Takir di perkarangan Pusat Khidmat DUN, Kampung Duyung, di sini, 6 Oktober.

Mohd Fazil melahirkan kebimbangan terhadap status projek yang masih diperingkat perbincangan itu, jika dihentikan begitu sahaja berikutan ianya sudah melibatkan perbelanjaan yang besar untuk kerja-kerja awal pembangunan yang melibatkan kawasan yang luas itu.

“Cuma kalau kita tengok banyak projek-projek yang melibatkan projek besar di peringkat Pusat pun banyak dikaji balik,” jelasnya.

Justeru beliau berharap agar projek AKN dapat diteruskan kerana ianya untuk kepentingan masyarakat nelayan untuk jangka masa panjang.




Tag: