• 04 Mei 2024 | 25 Syawal 1445

Penduduk Pulau Redang Bersyukur Island Music Festival Dibatalkan

 Abu Bakar Awang,


Dzakaria Mohd Salleh

SETIU:Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Pulau Redang menarik nafas lega dengan pengumuman kerajaan negeri berhubung pembatalan Island Music Festival yang di jadualkan  pada 12-14 Oktober ini.

Pengerusinya, Abu Bakar Awang melahirkan rasa syukur kerana kerajaan negeri dan pimpinan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit mengambil cakna bantahan penduduk tempatan dan membatalkan program ini.

Jelasnya lagi, tindakan pantas pihak kerajaan amat wajar bagi membasmi dan melumpuhkan program seumpama ini selaras dengan dasar pentadbiran khususnya berkaitan perlancongan.

"Kami ucapkan terima kasih atas pembatalan ini kerana kita tidak tahu apa yang mereka mahukan melalui pesta hiburan ini.

"Jika diadakan juga, sedikit demi sedikit  boleh memesongkan fikiran anak-anak muda ke arah aktiviti yang tidak sihat akibat terpengaruh dengan pengisiannya," beliau berkata demikian ketika dihubungi Urusetia Penerangan Darul Iman, hari ini.

Tegasnya lagi, jika dilihat bencana alam seperti tsunami yang semakin kerap berlaku mungkin juga berkait dengan perlaksanaan program yang tidak bermoral seperti yang dirancang dan ini menakutkan penduduk khususnya di Pulau Redang yang akan mengalami musim monsun tidak lama lagi.

Tambah Abu Bakar, penganjuran festival berunsurkan Islamik berkonsepkan kekeluargaan adalah alternatif terbaik bagi menggantikan program yang dibatalkan ini.

Penganjuran Island Music Festival yang dijadualkan pada 12-14 Oktober menjadi bualan hangat pelbagai pihak sebelum ini dan mendapat bantahan daripada orang ramai.

Kerajaan negeri melalui sidang medianya hari ini menolak permohonan penganjuran Island Music Festival 2018 di Pulau Redang yang dijadual diadakan mulai 12 Oktober ini.

Penganjurannya juga didapati bertentangan dengan moral dan agama serta jelas tidak menepati Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 2003.

Tag: