• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Penduduk Sedia Hadapi Banjir Luar Jangka

HULU TERENGGANU, 26 Februari - Penduduk Kampung(kg) Bukit Tok Bat di sini, mula membuat persediaan untuk hadapi banjir dengan mengemas barangan mereka selain meletakkan barangan elektrik di tempat lebih tinggi dan selamat sekiranya Kg Pengkalan Ajal mula banjir.

Salah seorang penduduk yang ditemui, Hasmiza Mokhtar, 47, berkata kebanyakan mereka yang tinggal di kawasan itu tidak lena tidur berikutan hujan lebat sejak khamis.

Lebih-lebih lagi katanya, air jarang naik pada bulan dua dan memang agak terkejut bila banjir berlaku berlaku pada akhir Februari, berbanding kebiasaan pada November dan Disember setiap tahun.

Hasmiza yang turut dibantu suaminya, Azzimudin Adam, 32, berkata jika air mula naik di kaki lima rumahnya, beliau segera menyimpan barang dan dokumen penting di tempat selamat serta mengemas pakaian bersesuaian yang diperlukan.

"Air mula naik jam 9 pagi tadi dan jika tengok keadaan semasa, parasnya makin meningkat.

"Saya bimbang jika banjir bertambah buruk pada waktu malam.Kami sekeluarga pun kini bersiap sedia untuk pindah bila-bila masa," katanya yang tinggal bersama dua anak dan dua cucunya.

Hasmiza juga mengakui dia pernah trauma dengan kejadian banjir yang berlaku apabila rumahnya dinaiki air hampir dua meter menyebabkannya sentiasa bersedia dengan pelbagai kemungkinan.

Dalam masa yang sama, dia juga bertindak awal dengan memindahkan lapan ekor kucing yang dibela ke loteng rumahnya bagi memastikan keselamatan haiwan peliharaan mereka sekeluarga.