• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Penduduk Sekitar Kilang Terbakar Dinasihat Dapat Rawatan Di Klinik Kesihatan

Menteri Besar turun padang melihat sendiri kejadian dan mendengar taklimat daripada pihak polis. Foto oleh : Tengku Syamim Tengku Ismail


Penduduk yang tinggal di sekitar kilang Kemaman Bitumen Company (KBC) yang  terbakar dinasihatkan agar segera mendapatkan rawatan di klinik kesihatan atau hospital berdekatan jika mempunyai masalah penafasan akibat pelepasan asap hitam tebal dari kebakaran itu.

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, penduduk di sekitar kawasan yang terjejas dengan kebakaran itu diminta sentiasa memantau tahap kesihatan keluarga terutamanya kanak-kanak.

“Meskipun pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengeluarkan kenyataan yang  tahap indeks pencemaran udara (IPU) agak terkawal namun beliau menasihati orang ramai supaya dapat memastikan tahap kesihatan anak-anak atau warga emas dalam keadaan baik.

“Saya meminta kepada penduduk sekitar supaya bersabar dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa yang berusaha memadamkan kebakaran kilang berkenaan terutamanya yang kita bimbang ialah peringkat awal kerana gas klorin dan karbon monoksida,” katanya.


Beliau berkata demikian selepas melawat Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Terengganu tidak jauh dari lokasi kebakaran kilang Kemaman Bitumen Company (KBC), Kemaman, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.15 petang kelmarin (Khamis) tiga buah tangki minyak mentah kilang KBC meletup dan terbakar sehingga menyebabkan kawasan sekitar diseliputi asap hitam tebal sehingga menganggu kehidupan seharian penduduk sekitar.

Menurut Ahmad Samsuri, antara pihak yang terlibat dalam operasi pemadaman kebakaran kilang berkenaan sejak kelmarin ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta beberapa agensi lain dan sehingga hari ini ianya masih diteruskan.


“Orang ramai juga dingatkan supaya tidak menyebarkan berita palsu di laman sosial dan mendapatkan maklumat tepat daripada pihak berkuasa bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih panik di kalangan penduduk sekitar kilang berkenaan,” katanya.

Tag: