• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Penduduk Selamatkan Rumah Terbakar

KUALA NERUS, 10 Oktober - Tindakan pantas beberapa penduduk yang tinggal berhampiran berjaya menghalang api daripada terus merebak dalam satu kebakaran di sebuah rumah di Kampung Kesom Tok Tukang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, beberapa penduduk bertungkus lumus menyimbah air ke dinding rumah Timbalan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Kesom Tok Tukang, Saari Mamat yang terbakar, dan berjaya memadam kebakaran tersebut.

"Kebakaran berkemungkinan berpunca dari api gas memasak yang tidak ditutup ketika memasak air, dan itu biasa dibuat kerana kami menjual masakan panas secara kecil-kecilan di hadapan rumah," cerita Saari lagi.

Dia berkata demikian ketika kunjungan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri, Ustaz Ridzuan Hashim ke kediamannya bagi meninjau keadaan musibah yang berlaku.

Menurutnya lagi, dia bernasib baik kerana tidak mengalami kecederaan dan kerugian yang teruk ekoran kejadian itu.

"Alhamdulillah, kerosakan pun tidak banyak dan tidak menjejaskan struktur rumah, syukur juga kerana tiada kemalangan jiwa yang berlaku," katanya.

Ustaz Ridzuan Hashim menyampaikan sumbangan kepada Saari Mamat

Ustaz Ridzuan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading turut menyampaikan sumbangan wang tunai bagi meringankan beban atas kerosakan yang berlaku.

Beliau melahirkan rasa simpati terhadap musibah yang ditimpa keluarga Saari dan berharap agar mereka sekeluarga tabah dan dipermudahkan urusan dalam meneruskan kehidupan seharian.


Tag: