• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Penduduk Terima Bekalan Air Lebih Baik Selepas Paip Dibaiki

KUALA NERUS, 4 September - Penduduk di kawasan Kuala Nerus dan sebahagian kawasan Kuala Terengganu yang dilanda masalah air akan mendapat dua punca air untuk sampai ke Tangki Bukit Berangan selepas ini.

Itu penjelasan yang dibuat Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkaitan insiden air Berangan 2.0 yang melanda kawasan terbabit pada masa ini.

Jelasnya, apabila loji Kuala Terengganu Utara (KTU) beroperasi dan pembaikan di dasar sungai siap, bekalan air dapat disalurkan dengan lebih berkesan kepada rakyat.

"Keupayaan paip dasar sungai sekarang ini ialah sebanyak 50 MLD (juta liter sehari) dan keupayaan KTU sebanyak 120 MLD ialah 2.4 kali keupayaan paip dasar sungai sedia ada.

"Setakat ini, kita masih mengekalkan 12 September sebagai tarikh untuk krisis ini berakhir, namun semua pihak terlibat mencuba sedaya mungkin untuk menyelesaikannya lebih awal," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas lawatan ke Dewan Sivik Dewan Undangan Negeri (DUN) Buluh Gading dalam Misi Kebajikan Kami Bersamamu anjuran Khidmat Malaysia Terengganu, hari ini.

Dalam lawatan tersebut, beliau mewakili kerajaan negeri menerima sumbangan sebanyak RM1.6 juta anak-anak syarikat Kumpulan Terengganu Inc bagi membantu urusan pengagihan air ke kawasan terlibat yang disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed@ Harun.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional, Hanafiah Mat yang juga merupakan pengerusi Khidmat Malaysia Terengganu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Wan Sukairi Wan Abdullah dan Pengarah Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), Mohd Soud Said serta Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) terlibat.

Menurut Dr. Samsuri, peralatan yang diperlukan dalam proses pembaikian tersebut tiba secara berperingkat sehingga Selasa ini termasuk peralatan untuk KTU beroperasi.

"Sama-sama kita doakan kerja pembaikian dasar sungai berjalan lancar & pengoperasian loji KTU di dalam masa yang dirancang.

"Bagi proses membekalkan air, kekuatan aset agihan air kepada rakyat sekarang ini ialah 11 lori tangki jumbo yang memuatkan 40,000 liter air, 19 lori tangki 5,000 liter, enam lori tangki dari pihak berkuasa tempatan (PBT), 357 tangki statik, 152 pili air serta 113 'mobile' team," katanya.

 

 

 


Tag: