• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Penduduk Uzur Syukur Tidak Putus-putus Terima Bantuan Air

KUALA NERUS, 3 September - Wajah redha dan lega jelas terpancar daripada penduduk uzur dan kurang berkemampuan setelah menerima bekalan air sementara dan bantuan air mineral sejak 28 Ogos lalu.

Sumbangan tersebut sebahagian daripada inisiatif bernilai RM1.25 juta kepada setiap rumah yang diagihkan secara berperingkat melalui Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN), Penyelaras dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) masing-masing.

Salah seorang penduduk tersebut adalah Abd Rahman Said, 56, yang telah dua tahun menghidap strok dan tidak mampu lagi berjalan akibat lumpuh.

Isteri kepada tukang rumah tersebut, Noor Azlina Awang, 46, berkata, bantuan air mineral sedikit sebanyak dapat memenuhi keperluan suami bersama seorang anak yang menetap serumah di Kampung Bukit Berangan.

“Setakat ini bantuan disampaikan mencukupi buat kami sekeluarga, selain daripada air yang disalurkan petugas Mobile Team Tepoh, kita juga menggunakan air mandi telaga dengan pam elektrik bagi keperluan harian,” katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPD) selepas menerima bantuan air daripada Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim di rumahnya hari ini.

Sementara itu, sepasang suami isteri, Nor Azura dan Muhammad Suhaimi Mahmud turut menyuarakan rasa syukur apabila lima karton bekalan asas tiba buat kegunaan bapa saudaranya, Mansor Awang, 70 yang terlantar akibat strok.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang bersama Tepoh menyampaikan air kepada keluarga Muhammad Suhaimi Mahmud

“Alhamdullilah, boleh dikatakan bekalan air setakat ini tidak putus buat kami enam orang sekeluarga hasil bantuan petugas DUN Tepoh dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) setempat.

“Buat masa kini, kami bergantung kepada tangka statik yang berdekatan di surau Kampung Bukit Berangan buat kebersihan diri dan sebagainya.

“Jika kita lihat situasi sekarang ini, saya masih bersabar, nak buat macam mana, buat masa bekalan air harian kami masih bertahan,” jelas Azura yang juga seorang suri rumah.

Warga emas turut diberi perhatian seperti Sudin Awang, yang tidak risau lagi setelah mendapat kelima-lima karton air.

“Air minum cukup buat saya bersama anak lelaki di sini, memang tidak perlu bimbang lagi,” katanya yang berusia lingkungan 100-an.

Dalam pada itu, Tengku Hassan yang juga ADUN Ladang berkata, pelbagai pihak termasuk wakil rakyat dan sukarelawan telah mengerahkan tenaga bagi meringankan masalah air dihadapi masyarakat di enam DUN terlibat

Terbaharu, tiga unit alat Variable Field Drive (VFD) telah tiba di Terengganu bagi mengaktifkan pam untuk mengalirkan air dari Pulau Bahagia ke Loji Baru Bukit Berapit berkapasiti 60mld.