• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Penerima Bantuan JKM Belanja Guna Kad JKMPAY

KUALA TERENGGANU, 23 November–  Sejumlah 41,673 penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di negeri ini membabitkan peruntukan keseluruhan  hampir RM126 juta bakal menerima bantuan melalui Program Bayaran Bantuan Kewangan Tanpa Tunai secara berperingkat-peringkat.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, program tersebut bertujuan meningkatkan lagi perkhidmatan JKM dan memastikan bantuan diterima dimanfaatkan sepenuhnya oleh penerima demi kelangsungan hidup mereka.

Beliau berkata, sebelum ini program perintis inisiatif tersebut telah dilaksanakan di Perlis, Kedah dan Melaka selama enam bulan bermula Februari lalu.

“Kajian kebolehlaksanaan projek rintis melibatkan 1,066 penerima di tiga negeri itu mendapati program tersebut menerima sokongan penuh.

“Majoriti penerima memaklumkan pembayaran bantuan kewangan tanpa tunai tersebut memudahkan mereka membuat kawalan perbelanjaan bagi menampung keperluan harian,” katanya selepas melancarkan program tersebut peringkat Terengganu di Taman Sinar Harapan di sini , semalam.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri Hanafiah Mat, Ketua Setiausaha KPWKM, Dr Maziah Che Yusof dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam Malaysia Berhad Mohd Muazzam Mohamed.

Mengulas lanjut, Rina berkata, program berkenaan adalah kolaborasi strategik di antara kerajaan dengan pihak swasta dalam meningkatkan perkhidmatan JKM dan memastikan bantuan yang diterima dimanfaatkan sepenuhnya untuk kelangsungan hidup.

Katanya, kementerian sentiasa mengalu-alukan dan membuka peluang kepada institusi kewangan di Malaysia untuk bekerjasama dengan berkongsi perkhidmatan yang boleh ditawarkan di samping menjalankan tanggungjawab sosial korporat untuk keselesaan golongan memerlukan.

"Sehingga kini, kita sudah membantu seramai 513,826 penerima membabitkan peruntukan sebanyak RM2.2 bilion,”katanya.