• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Pengagihan Air Berterusan, Pelbagai Jentera Dikerah Bantu Penduduk

KUALA TERENGGANU, 10 Ogos – Kerajaan negeri serta pelbagai pihak telah mengagihkan bantuan air tanpa henti di kawasan terjejas di daerah Kuala Nerus dan Kuala Terengganu sehingga kerja pembaikan selesai.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh berkata, usaha itu bagi menampung keperluan semasa dan memudahkan pengambilan air bersih.

Katanya, 151 buah tangki statik telah disediakan di seluruh kawasan terlibat.

“Ini melibatkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir sebanyak 20 buah, Buluh Gading dan Manir sebanyak 43 buah, Batu Rakit 23 buah dan DUN Tepoh serta Bukit Tunggal sebanyak 65 buah.

“Ini disusuli 34 buah lori tangki telah beroperasi selama 24 jam dengan menyalurkan ke tangki statik tersebut. Manakala dua buah lori bergerak bagi sokongan, tiga buah bergerak bagi memberi keutamaan ke pusat-pusat berkepentingan seperti Hemodialisis.

“Tiga buah jentera BOMBA mengendalikan pusat-pusat kuarantin serta dan enam buah lori Pihak Berkuasa Tempatan sebagai lori tangki statik dengan bilangan petugas seramai 160 orang,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media berkaitan ‘Krisis Air Berangan’ di Ibu pejabat Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU), di sini petang tadi.

Tambahnya, SATU juga telah menyediakan sebanyak 86 pili paip daripada sumber utama bagi memudahkan pengguna mendapatkan bekalan air bersih sebagai alternatif kepada inisiatif lain.

“Antara lokasi terlibat seperti Drawbridge sebanyak 44 pili paip, Kampung Petaling sebanyak 10 pili paip, Simpang Bukit Berangan sebanyak 10 pili paip, hadapan Masjid Manir sebanyak 12 pili paip dan di Pantai Teluk Ketapang sebanyak 10 pili paip,” katanya lagi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang itu turut mengucapkan terima kasih Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar atas pengumuman air percuma selama dua bulan kepada pengguna yang terjejas.

“Saya juga mewakili Kerajaan Negeri Terengganu dan SATU berasa sangat terharu dengan pelbagai bantuan sokongan dari pelbagai pihak termasuk menerima bantuan lori tangki daripada Syarikat Air Johor, Air Selangor, Pengurusan Air Pahang, Lembaga Air Perak, Syarikat Air Melaka, Air, Syarikat Air Darul Aman dan Syarikat Air Negeri Sembilan dan lain-lain lagi.

“Saya juga ingin merakamkan ucapan jutaan terima kasih semua pihak yang telah memberikan kerjasama yang baik daripada pihak DUN, Jabatan Amal, JPKK, JPAM, BOMBA, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan orang awam yang turut sama membantu bagi memastikan penghantaran air sampai kepada penduduk yang terlibat.

“Saya memohon kesabaran dan jasa baik semua pihak untuk memahami kesukaran kerja-kerja pembaikian di dasar Sungai Terengganu ini. Saya doakan kerja-kerja pembaikian berjalan dengan lancar. Insya-Allah,” kata beliau.

Terbaharu, pengguna yang terjejas dijangka akan mula mendapat bekalan air secara berperingkat pada jam 12 pagi 14 Ogos ini berdasarkan status proses pembaikan semasa dan tahap kesukaran yang ada.