KUALA TERENGGANU, 19 April - Seluruh pengamal media Terengganu hari ini diraikan dalam satu majlis berbuka puasa anjuran kerajaan negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata majlis demikian adalah bagi menghargai peranan media yang menyampaikan maklumat tepat berkenaan pentadbiran negeri itu.
“Peranan media sangat penting mutakhir ini, apatah lagi bercampur dengan media sosial seperti Tik Tok dan Facebook hari ini.
“Saya mewakili Menteri Besar dan kerajaan negeri seluruhnya mengucapkan terima kasih kepada semua pemain media arus perdana dan juga media kerajaan negeri yang banyak menyampaikan maklumat kepada rakyat Terengganu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mewakili Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam Majlis Berbuka bersama Media Terengganu di Primula Beach Hotel, Kuala Terengganu di sini hari ini.
Ariffin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alur Limbat turut berkata pengamal media bakal sibuk dengan suasana Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diumumkan dalam masa terdekat.
“Sehingga hari ini, kerajaan negeri masih berdiri teguh adalah dengan peranan media perdana dan kerajaan. Tanpa kalian sukar bagi kerajaan ingin sampaikan info,” tambahnya.
Seramai 200 orang pengamal media arus perdana termasuklah media utama kerajaan negeri, Urus Setia Penerangan Darul Iman diraikan dalam majlis tersebut.