• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Pengamal Media Mampu Pengaruhi Pemikiran Rakyat - Pengarah UKOM


Pengamal media di negeri ini diminta sentiasa menyokong program anjuran kerajaan negeri menerusi penyebaran berita yang tepat, berintegriti dan terkini.

Pengarah Unit Komunikasi Negeri Terengganu (UKOM), Dato' Muda Mamat berkata, sokongan media amat ditagih apatah lagi menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) supaya dapat membantu kemenangan Kerajaan Barisan Nasional mempertahankan pentadbiran.


"Rakan-rakan media massa, elektronik mahupun cetak dan media sosial masa kini amat berpengaruh memberi info dan sebaran berita yang tepat untuk rakyat.

"Kita yakin dan percaya kelangsungan pemerintahan kerajaan banyak dipengaruhi oleh pengaruh media massa kerana dapat mencorak pemikiran rakyat menerusi maklumat yang tepat dan terkini,"katanya.

Beliau berkata demikian di majlis perjumpaan bersama media anjuran UKOM sempena sambutan Aidilfitri 2017, di Dewan Gamelan, Hotel Primula Beach, Kuala Terengganu, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi Multimedia dan Tugas-Tugas Khas Negeri, Ghazali Taib.


Lebih 200 tetamu termasuk ketua jabatan dan pegawai kanan kerajaan negeri serta rakan media daripada pelbagai agensi di seluruh Terengganu turut memeriahkan majlis.

Acara yang bermula jam 11 pagi turut diserikan dengan pelancaran album mini yang pertama, kugiran anak Terengganu, Herow Band.

Herow Band yang ditubuhkan pada 2012 terdiri daripada lima anak muda Syahidin, Salam dan Salihin Mohd Salim yang juga anak kepada pemain gitar bass, Mohalim daripada kumpulan Iklim. Sementara dua lagi,  Aiman Hakim dan Shahriman Sulaiman.


Tag: