• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Penganjuran Sukan Permotoran Dibenarkan Kembali

KUALA TERENGGANU, 10 Oktober - Kerajaan membenarkan semula penganjuran sukan permotoran dan kereta di Litar Gong Badak, tetapi hanya melibatkan perlumbaan drag sejauh 200 meter sahaja.

Pengerusi Pembangunan Belia, Sukan, dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata litar tersebut telah melalui ujian dan pemeriksaan yang terperinci dan didapati ia berada dalam keadaan baik serta tidak beralun sebagaimana didakwa.

"Untuk makluman saya telah mendapat laporan daripada pihak Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) dalam laporan itu jelas mencatatkan bahawa kemalangan yang berlaku kepada pelumba drag, Apeh Jamal bukan disebabkan litar tetapi kerana masalah teknikal jentera.

"Pihak MSNT juga telah memanggil saudara Wazi Abul Hamid (bekas pelumba motor) untuk memeriksa litar dan telah mendapati ia berada dalam keadaan baik, tidaklah sebagaimana yang dikatakan beralun, ertinya litar berada dalam keadaan yang baik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita, di Majlis Apresiasi Kontinjen Negeri Terengganu SUKMA XX, di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam (TTI), semalam.

Wan Sukairi turut menjelaskan, sebarang perlumbaan melebihi jarak 200 meter kekal tidak dibenarkan lagi.

"Hanya setakat jarak itu sahaja yang dibenarkan," jelasnya.