• 05 Mei 2024 | 26 Syawal 1445

Penganjuran Tour Gateh D’Tranung Raih Pujian Ramai

KUALA TERENGGANU, 9 September – Penganjuran Tour Gateh D’Tranung 2023 (TGDT23) menerima pujian ramai apabila berjaya mengadakan perlumbaan berkonsepkan 'Sport Tourism'.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja berkata 'Sports Tourism' itu dengan melaksanakan siri jelajah berbasikal merangkumi semua daerah dalam negeri ini.

Katanya, ia sekali gus dapat mempromosikan Terengganu di mata dunia melalui sukan berbasikal.

“Penganjuran sebegini amat penting bagi para atlet kita terutamanya yang masih muda supaya dapat menimba ilmu dan pengalaman sebelum ke peringkat yang lebih tinggi.

“Terengganu sentiasa mengalu-alukan sukan sebegini yang memberi manfaat kepada para atlet tempatan dan kerajaan negeri Terengganu,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika diwawancara oleh pengacara ketika siaran langsung di laman Facebook Tour Gateh D’Tranung 2023 bertempat di Jabatan Angkat Kuala Terengganu di sini, semalam.

Turut hadir Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Yahaya Ali, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim dan Presiden, Pengarah Eksekutif Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun.

Terdahulu ketika sidang media Tour Gateh D’Tranung 2023, Hishamuddin berkata program ini melibatkan seramai 164 orang pelumba dengan laluan sepanjang 650 kilometer.

"Pertandingan disertai 27 pasukan antaranya sembilan kelab tempatan, 10 pasukan Sukan Malaysia (Sukma) dan lapan pasukan elit antarabangsa dari Eropah, Qatar, Singapura dan Indonesia.

"Program ini anjuran bersama Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) dan Persatuan Lumba Basikal Terengganu (PLBT) serta beberapa agensi yang turut terlibat," ujarnya.

 


Tag: