• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Pengerusi JPKK Jual Motosikal Bantu Penduduk Terjejas

KUALA NERUS, 29 Jun - Memahami kesempitan hidup orang ramai di waktu sukar ini, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Bukit Tok Beng sanggup menjual motosikalnya demi membantu penduduk yang terjejas.

Mohd Rozi Sakiman berkata, semua hasil jualan Honda Wave 125 telah dimasukkan ke tabung JPKK sebelum diagihkan kepada masyarakat miskin secepat mungkin.

Katanya, beliau merasa puas dapat menolong penduduk di kampungnya walaupun agak sedih motosikal yang banyak berjasa kepadanya dijual. 

“Niat untuk membantu mereka yang benar-benar memerlukan sahaja, penduduk terjejas ada yang sebulan hilang punca pendapatan kerana tidak dapat bekerja insya-Allah akan dibantu dengan duit perolehan hasil jual motosikal saya itu.

“Ia akan diagih dalam bentuk barangan dapur kepada keluarga terpilih, dalam keadaan sekarang itu usaha yang boleh saya buat untuk membantu orang kampung di bawah jagaan saya selaku JPKK,” jelasnya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) hari ini.

Menurut beliau, langkah itu adalah tambahan kepada bantuan dan peruntukan awal daripada Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Ahli Parlimen Kuala Nerus yang telah diagihkan kepada rakyat sebelum ini.

“Kerajaan Terengganu juga memberikan RM200,000 kepada setiap DUN menerusi program Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (BERKAT) 3.0, ia akan diagihkan kepada rakyat.

“Jadi, apa yang saya buat ini adalah tambahan kepada program itu, ini atas inisiatif sendiri bagi membantu rakyat.

“Insya-Allah pihak kami akan terus membantu rakyat sebagaimana kehendak kerajaan negeri, sesiapa yang memerlukan boleh hubungi JPKK untuk mendapatkan bantuan,” tambah beliau.


Tag: