• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Penggiat Pelancongan Perlu 'Bersedia' Sebelum Dibenar Beroperasi

HULU TERENGGANU, 22 Julai - Kerajaan negeri akan memastikan semua pemain industri pelancongan di Terengganu menerima suntikan vaksin COVID-19 sebagai persediaan sekiranya sektor itu dibuka kembali.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata ia sekali gus dapat memberi kenyakinan kepada pelancong untuk melancong dengan selamat ke destinasi pilihan mereka.

Menurutnya, program vaksinasi terhadap golongan terbabit melibatkan lebih 5,000 pemain industri pelancongan dan penduduk di Pulau Kapas, Pulau Redang, Pulau Perhentian, Pulau Tenggol dan Tasik Kenyir.

"Program vaksinasi kepada penggiat industri pelancongan dijangka selesai sepenuhnya sebelum akhir bulan Ogos bagi mencapai status imuniti berkelompok.

"Ia merupakan satu persiapan penting bagi merancakkan semula sektor pelancongan tempatan yang terjejas teruk ekoran pandemik Covid-19," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Program Outreach Vaksinasi Sektor Pelancongan di Tasik Kenyir, hari ini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Hulu Terengganu merangkap Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Dato' Rosol Wahid dan Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah)  Dato'  Razali Idris.

Tambahnya lagi, program outreach vaksinasi pelancongan telahpun bermula di Pulau Kapas dan kini diteruskan Tasik kenyir, Pulau Redang, Pulau Perhentian dan Pulau Tenggol.

"Kita amat berharap pembukaan industri pelancongan akan dapat mengimbangi kerugian, sekali gus meningkatkan pendapatan mereka yang terjejas di kawasan pulau berkenaan," katanya.