• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Penggodam FB Exco Terengganu Kantoi

KUALA TERENGGANU, 6 Disember - 'Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua', itulah perumpamaan sesuai bagi menggambarkan situasi penggodam laman sosial seorang Exco Terengganu yang berjaya dikenalpasti semalam.

Individu tersebut dipercayai telah menceroboh salah satu ‘facebook (FB) page' milik Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim pada 29 November lalu.

Setelah itu, dia bertindak membuang semua pentadbir asal laman tersebut termasuk Dr Azman.

Malah bukan itu sahaja kata Dr Azman, instagram (IG) peribadinya turut digodam untuk tujuan yang tidak diketahui.

"Beberapa akaun ‘scammer’ ini dapat dikesan apabila mereka menawarkan jualan akaun IG secara atas talian.

"Dari 29 November sehingga 5 Disember. Kami hanya boleh melihat saja apa yang berlaku di akaun-akaun media sosial terbabit tanpa boleh mengubah dan menyiar apa-apa. Pelbagai usaha serta aduan telah dibuat kepada FB termasuklah melalui surat rasmi. Tapi masih buntu dan tiada penyelesaian," katanya ketika dihubungi media.

Mengulas lanjut, kata Dr Azman, selepas terkantoi penggodam berkenaan mengakui bahawa dialah juga salah seorang yang terlibat meggodam akaun FB miliknya.

"Perangkap dipasang untuk beli balik IG. Bukan mahal pun, RM180 sahaja. Penggodam yang menggunakan FB akaun palsu memberikan nombor akaun sebuah bank tempatan untuk proses pembayaran, nama orang melayu tempatan saja bukan penggodam luar negara.

"Akhirnya IG dapat diselamatkan kembali tanpa satu sen pun bayaran. Berlakulah insiden lucu dan pelik, kumpulan kami yang berhempas pulas mendapatkan hak kami dituduh menipu apabila bayaran kepada penggodam tak dibuat dalam transaksi jual beli IG tersebut," katanya

Tambah beliau, maklumat nombor akaun bank milik penggodam adalah bukti kuat untuk membuat laporan polis.

"Dah ada laporan polis, saya serius untuk teruskan dengan tindakan melalui saluran undang-undang. Akhirnya pencuri mengalah dan pulangkan balik page kami pagi ini," jelasnya.